Thursday, February 25, 2010

Sekadar cerita budak pondok 3


Hadi merasakan terlalu hebat ujian yang diberikan Allah kepadanya. Saat dia kembali bertaut kasih dengan kedua ibu bapanya, saat itulah Allah mengambil mereka. Bahkan Hadi tidak sempat pun untuk mengetahui apa yang nak diberikan oleh mamanya. Cumanya, selepas Hadi menyelongkar beg tangan mamanya yang sedikit hangus, dia terjumpa sekeping gambar mama dan papanya dengan seorang anak kecil. Itulah Hadi, gambarnya yang dikucup mesra oleh kedua ibu bapanya.

Juga, dia terjumpa buku akaun yang tertera namanya. Mungkin mama dan papanya ingin berpesan sesuatu dengan gambar tersebut.Makin terasa di hatinya. Sayu yang teramat sangat. Sejadah itu basah dengan linangan air matanya. Hadi mengimbau kembali peristiwa hidupnya dahulu. Sewaktu kecil, memang Hadi seorang anak yang degil dan nakal. Semasa sekolah rendah lagi, perangainya cukup teruk. Dia mula menghisap rokok ketika berada di darjah 4.

Bahkan, Hadi seorang kaki samseng di sekolah. Pelajar-pelajar lain semua takutkan Hadi, dan perangai itu berlanjutan sehinggalah dia ke peringkat menengah. Nasihat ibu bapa dan gurunya tidak dipedulikan sehinggakan ibunya pernah diherdik dengan panggilan “anjing” dan bermacam lagi perkataan kesat yang lain.

Semasa sekolah menengah, Hadi juga terlibat dengan kegiatan gangster dan aktiviti lumba haram. Pelajarannya tidak dipedulikan langsung. Pernah guru sekolah menggantung persekolahan Hadi selama 2 minggu tetapi tak dimaklumkan kepada ibu bapanya pun. Usahkan ilmu sekolah, ilmu asas agama pun tidak dipedulikan. Bukannya mama dan papa Hadi tidak menghantarnya belajar Al-Quran dan Fardu ain, tetapi dia yang keras hati dan melawan cakap mereka.

Hadi keruh bergelumang dengan kegiatan dosa yang dilakukannya. Sembahyang tidak pernah sekali, bahkan Hadi tidak tahu pun macam mana nak membaca Al-Quran. Hal-hal agama tidak dipedulikannya langsung. Sehinggalah tiba satu hari, papa Hadi dipanggil berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah atas satu kes yang dicetuskan oleh Hadi.

“ Maafkan saya Encik Rahman, kami terpaksa buang Hadi daripada belajar di sekolah ini kerana ini merupakan peluang terakhir yang diberikan kepadanya. Nampaknya Hadi sendiri yang memilih jalan hidup ini, maafkan saya ”. bicara pengetua sekolah itu walaupun lembut tetapi ia bagaikan halilintar yang memekik dalam hati papanya.

“ Hadi sekarang ini ditahan dibalai polis kerana dia disyaki mencetuskan pergaduhan membabitkan penggunaan senjata tajam dengan pelajar-pelajar sekolah ini, saya terpaksa maklumkan kepada Encik Rahman supaya Encik dapat pergi ke sana sekarang juga dan membuat jaminan bagi pihak Hadi. Saya tidak mahu masa depan budak itu musnah ”. jelas satu persatu kalimah yang keluar dari mulut pengetua sekolah Hadi.

Gelap-gelita dirasakan dunia ini. Anak yang diharapkan menjadi galasan keluarga, melakukan hal sedemikian kepada keluarganya. Papanya terus ke balai polis dan membuat jaminan bagi pihak Hadi. Kelihatan muka Hadi pucat dek rasa bersalah atas kesilapannya. Rasa malu papanya dengan tindakan Hadi itu.

Selesai urusan dibalai polis itu, petang itu jugalah papa dan mama Hadi memaksa Hadi untuk dihantar belajar ke satu tempat yang jauh di kampung sana iaitulah Pusat Pengajian Pondok, tempat Hadi belajar sekarang. Mulanya, Hadi enggan dan merayu pada mama dan papanya agar tidak ditinggalkannya di situ. Tempat itu terlalu asing buat Hadi. Hadi menangis dan merayu seraya berjanji untuk berubah namun kekecewaan di hati mama dan papanya sukar diubati lagi.

Mereka tidak pedulikan lagi rayuan anak itu. Biar dirasakan akibat perbuatannya selama ini. Mama dan papa Hadi meninggalkan Hadi di situ tanpa menoleh ke belakang pun. Memang mereka betul-betul benci pada anak mereka itu.

Hadi tersentak dengan imbauan lama. Sejarah hitamnya dahulu. Namun selepas peristiwa itu, dia memasang tekad untuk berubah. Dia mahu buktikan dia mampu jadi anak yang soleh satu hari nanti. Dia juga mahu jadi hamba yang terbaik, yang rindukan dambaan kasih Ilahi.



Dalam kesunyian malam itu, Hadi bangkit seraya menunaikan solat hajat 2 rakaat. Selesai solat, dia menadah tangan dan berdoa

“ Wahai Allah, Engkaulah Tuhan yang mempertautkan hatiku dengan hati kedua ibu bapaku kembali. Engkaulah Tuhan yang telah memancarkan cahaya-cahaya dalam hati kekasihMu sehingga mereka mengenal dan mengesakan Engkau ”.

“ Wahai Allah, aku bersyukur padaMu yang menarikku daripada jalan kesesatan selama ini. Engkau menyelamatkan diriku daripada runtutan nafsu, daripada kejahatan diriku sendiri ”.

“ Wahai Allah, Engkau kurniakan ilmu padaku sehingga aku mengenal akan Dikau,sebelum ini manusia lain tidak mengetahui betapa perit bagiku untuk mendapat sedikit ilmu ini, betapa hatiku meronta-ronta untuk keluar daripada jalan ilmu ini namun aku gagahkan jua, kerana aku yakin dengan sinaran hidayahMu yang pasti tak akan sesekali mensia-siakan hambaMu ”.

“ Wahai Allah, kedua ibu bapa akulah yang mengajar aku mengenal semua ini. Mereka yang mendidik aku. Kalau pada hari ini,aku mengenal Engkau dan mengabdikan diri padaMu, merekalah sebagai asbabnya, namun itu semua kurniaan PemurahMu Wahai Allah”

“ Wahai Allah, Engkau mengambil mereka pada saat aku memerlukan mereka, pada saat aku ingin mendapat kasih sayang mereka kembali, namun aku pasrah pada takdirMu. Aku mohon padaMu dengan penuh kedhaifan,penuh kehinaan diri, penuh kejelekan dan penuh kelemahan kudrat sebagai hamba ”,

“ Wahai Allah, aku tidak sempat berbakti kepada mereka lagi selepas ini. Mereka telah pergi selama-lamanya. Jagalah mereka, terimalah roh mereka dalam kalangan mereka yang beriman padaMu. Selamatkanlah mereka “.

“ Wahai Allah, aku mendengar sabdaan RasulMu yang bermaksud ‘ kubur itu merupakan tempat persinggahan pertama daripada persinggahan-persinggahan Akhirat. Jika selamat pada persinggahan pertama ini, persinggahan lain akan menjadi mudah namun jika persinggahan pertama sudah menjadi sukar, maka persinggahan lain akan menjadi lebih sukar lagi ‘. Maka, permudahkan bagi kedua ibu bapaku persinggahan pertama mereka ”.

NabiMu bersabda lagi “ kubur boleh menjadi satu taman daripada taman-taman syurga dan boleh juga menjadi satu lubang daripada lubang-lubang neraka ”. Maka, jadikan kubur kedua ibu bapaku taman daripada taman-taman syurga Wahai Allah.

“ Wahai Allah, pada hari di mana JahanamMu memekik mengintai mangsa, selamatkanlah mereka dari jilatan yang sangat menakutkan itu, selamatkan mereka dari diheret penuh rakus oleh JahanamMu ”.

“ Wahai Allah, bermula saat ini aku tidak dapat lagi menatap wajah kedua ibu bapaku, tempoh baktiku pada mereka juga berakhir, rahmatilah mereka Ya Allah, mudah-mudahan kami bertemu di tangga syurgaMu kelak ”.

“ Wahai Allah, sebagaimana kami hidup di dunia ini sebagai satu keluarga, pertemukan kami di syurgaMu sebagai satu keluarga juga, kami ingin sekali bertemu denganMu nanti, menatap wajahMu ”.

Air mata Hadi mengalir laju. Mudah-mudahan roh mama dan papanya tenang di alam sana. Dia pula, akan meneruskan perjuangan ilmunya ke bumi Jordan sana bagi mencari hakikat makna cinta sejati,hidup di bumi ini, yang diumpamakan jeriji besi yang memagari diri. Hadi bakal berkelana seorang diri lagi.

Kedengaran gema zikir menyebut nama Allah dari ruang peribadatan Hadi. Turun naik nada zikir itu sungguh mengasyikkan. Mendamaikan jiwa. Kalau dahulu, lidahnya kelu dan berat untuk merintih menyebut nama Allah, kini ucapan Subhanallah,
Alhamdulillah dan Allahu akbar bagaikan sebati dengan lidahnya. Dia juga mengetahui apa makna di sebalik kalimah suci tersebut.

Dengan kalimah Allahu Akbarlah nanti Hadi akan beraksi untuk perjuangan Islam. Seisi langit dan bumi menjadi saksi baginya bagi termerainya satu janji yang pasti, hari di mana Allah memuliakan para pejuangNya, semulia-mulianya dan Allah menghinakan musuh-musuhNya, sehina-hinanya.

Tuesday, February 23, 2010

Sekadar cerita budak pondok 2



“ Tolehlah ke belakang, Hadi ada di sebalik pintu itu. Dia yang minta saya untuk berbuat begini “ ujar Ustaz Harpan lembut. Pintu bilik tercuak. Hadi melangkah masuk ke bilik itu dengan wajah yang sedikit bimbang. Bimbang papa dan mamanya masih tidak lagi menerima kehadirannya. Dia sedar, memang dia banyak berbuat salah sebelum ini. Namun, semenjak dihantar ke sini, dia tekad untuk berubah. Berubah menjadi insan yang kamil.

Sebaik menoleh ke belakang, papa dan mamanya begitu terpegun sekali. Perasaan mereka bercampur baur. Naluri keibu bapaan membuak-buak dalam jiwa mereka. Sekarang berdiri di hadapan mereka, anak yang dulunya penuh dengan kecomotan dosa dan tidak terurus kini lengkap dengan berjubah serba putih dan berserban putih. Terpancar cahaya kemanisan dari raut wajah Hadi dengan berseri sekali, bekasan wuduk yang menjadi wadah kesempurnaan kebersihan diri, zahir dan batin. Dia kini laksana perwira agama yang siap siaga menempuh cabaran perjuangan Islam.

Sahabat-sahabat Hadi di pondok menggelarkannya dengan panggilan Saad Abi Waqqas ke2. Ibarat ucapan keramat Saad dahulu, “ aku ibarat salah satu anak panah daripada anak-anak panah Islam, maka panahlah aku ke mana-mana penjuru musuh, akan aku bisa menembusi mereka”. Begitulah Hadi. Ketokohan yang ada padanya, ketinggian ilmunya, ketekunannya menuntut ilmu, kerendahan dirinya semasa bermunajat memang menjadi ikutan kepada sahabat-sahabat yang lain.
Jiwanya juga cukup mudah terusik dengan insan yang memberi bekas kepada hatinya. Dia kasih dan sayang kepada insan seperti itu. Dia tekad membela mereka dunia dan Akhirat. Benar seperti satu hadis yang bermaksud lebih kurang begini “ orang yang hebat sewaktu zaman Jahiliah dia dahulu, bila hatinya ditembusi cahaya iman dan takwa, dia akan hebat juga dalam liku-liku kehidupan Islam ”.

“ Mama, papa, maafkan Hadi, Hadi banyak buat salah pada mama dan papa sebelum ini “. Itu ucapan pertama yang keluar dari mulut Hadi sebaik melihat kedua ibu bapanya. Sebak di dadanya cuba ditahan, agar kerinduan seorang anak yang terpendam selama ini dapat disembunyikan. Mama dan papanya pun begitu. Walaupun mereka sakit hati dengan perangai Hadi dahulu, namun Hadi tetap anak mereka. Kasih dan sayang sebagai ibu bapa masih mencengkam di sanubari mereka.



Selama ini, naluri keibuan yang dambakan pelukan seorang anak timbul kembali. Tanpa menghiraukan Ustaz Harpan yang berada di dalam bilik itu, mamanya terus memeluk Hadi dan menangis dengan kuat. Tak disangka anaknya kini bakal menjadi penyejuk matanya semula. Pertemuan yang selama ini dinanti-nantikan muncul pada hari tersebut. “Maafkan mama dan papa sayang, buat begini pada Hadi. Mama kesal dengan apa yang telah berlaku nak “ ucap ibunya dalam esak tangis yang bergema.

Ustaz Harpan keluar dari bilik itu bagi memberi ruang kepada keluarga tersebut melepaskan rindu yang sekian lama terbuku. Pertemuan yang diibaratkan sebagai permulaan bagi titik kejayaan untuk Hadi kembali membawa dirinya hidup dalam kegemilangan kejayaan.

“ Mama dan papa tak bersalah, Hadi yang salah. Tak dengar nasihat mama dan papa dahulu ”. Hadi dah bertaubat mama, Hadi nak kembali menjadi manusia yang bertakwa kepada Allah ”. Terima kasih diucapkan pada papa kerana menghantar Hadi ke sini, kalaulah Hadi tak sampai ke sini, entah apa terjadi pada Hadi sekarang “. Tutur Hadi lembut dalam kesayuan hati yang membujuk. Air matanya mengalir semahu-mahunya. Berkali-kali dikucup pipi dan tangan mama dan papanya sambil meminta maaf atas kesilapannya dahulu.

“ Maafkan Hadi ya mama,papa. Hadi sayangkan mama dan papa. Akan Hadi jaga mama dan papa baik-baik selepas ini ”. tersekat-sekat suara Hadi menuturkan patah bicara itu. Penantian selama ini terburai di situ. Papanya juga tidak dapat menahan sebak di dada, akhirnya turut menangis jua. Mengenangkan kembali anak yang ditinggalkan secara paksa di sini dahulu, hati mereka dirundum sedih yang amat.

“ Em, ok lah sayang, kita lupakan hal sebelum ni. Mama dengar tadi Ustaz kata Hadi dapat tawaran untuk sambung belajar ke Jordan,bila pergi tu? Soal mamanya selepas keadaan kembali tenteram. “ Mm, kalau tak ada apa-apa, insyaAllah Hadi akan pergi ke sana 2 minggu lagi, sebab itulah Hadi minta untuk berjumpa dengan mama dan papa. Hadi nak minta mama dan papa halalkan makan minum Hadi sebelum ini, dan tolong doakan Hadi berjaya dalam hidup ya mama, papa ”.

Dengan linangan air mata, Hadi menyambung “ mama, papa, Hadi buat begini supaya mama dan papa dapat maafkan salah silap Hadi sebelum ini. Hadi takut, kerana Hadi mengerti jika sampai ajal Hadi, Allah tidak akan menerima kehadiran roh anak yang derhaka”. Allah memerintahkan para malaikatnya supaya roh anak yang derhaka itu dipalu dengan cemeti neraka di hadapan jutaan manusia kelak ”. Hadi takut, mama, papa ”. esak tangis Hadi bergema lagi.

“ Hadi, mama dan papa dah maafkan Hadi, mama halalkan makan minum Hadi dan mama dan papa akan selalu doakan Hadi “. “ Doakan juga mama dan papa selamat hidup dunia dan Akhirat ”.

“ Baiklah, kalau Hadi nak ke Jordan 2 minggu lagi, mama dan papa akan buat persediaan untuk anak mama seorang ini pergi ke sana nanti. Minggu depan mama dan papa akan datang lagi, Hadi tunggu ya nak. Ada la benda yang mama dan papa nak beri kepada Hadi ”. Ujar ibunya sambil melirik sebuah senyuman manis kepada papanya.
Entah kenapa, semasa bersalaman dan memeluk erat kedua ibu bapanya, Hadi terasa berat untuk melepaskan mereka. Rasa berat yang sangat. Dia hanya sempat memulakan detik kebahagian dalam hidupnya baru beberapa minit yang lepas. Cepat rasanya masa berlalu pergi.

>


“ InsyaAllah, Hadi tunggu mama dan papa. Janji untuk datang ya, Hadi akan bersiap awal-awal lagi nanti. Hadi akan tunggu mama dan papa kat depan pintu utama pagar lagi, hehe ”. Tuturnya sambil bergurau. Itu kali pertama Hadi bergurau dengan kedua ibu bapanya selama hidupnya. Memang dia dulu bersikap dingin kepada kedua ibu bapanya,coretan kisah hitamnya dahulu...

Saturday, February 20, 2010

Sekadar cerita budak pondok 1



Malam itu Hadi menangis teresak-esak di atas sejadah. Pilu rasa hatinya. Sekarang baru dia mengerti betapa peritnya kehilangan orang tersayang. Memang dia cukup terasa. Air matanya mengalir laju mengenangkan kenangan sebelum ini. Pagi tadi Pak Cik Kamal, kerani di Pusat Pengajian Pondok memberitahunya bahawa Hadi diminta hadir ke hospital bagi membuat pengecaman ke atas jenazah sepasang suami isteri yang terlibat dengan kemalangan ngeri. Tambah memeritkan, dikatakan kemalangan itu berlaku hanya 2 kilometer dari tempat Hadi belajar.

Rupa-rupanya, jenazah suami isteri itu adalah ibu bapa Hadi. Mama dan papanya. Rasa nak tercabut jantung Hadi melihatkan jenazah kedua-dua mereka. Penuh berlumuran dengan darah. Lagi memilukan, barulah Hadi tahu rupanya mama dan papanya dalam perjalanan ingin menziarahi Hadi buat kali kedua selepas 5 tahun tidak bertemu mata. Hadi juga masih terbayangkan replika kereta yang remuk akibat berlanggar dengan lori pagi tadi. Terlekat di celah-celah pintu kereta cebisan kulit buah limau. Mungkin itu buah tangan untuk aku, bisik hati kecil Hadi.

Jiwa hadi begitu berkecamuk. Rasa sedih yang teramat sangat. Namun, Hadi mengerti bahawa masakan terjadi sesuatu tanpa ada hikmah dan iktibar di sebalik setiap peristiwa itu. Hadi memujuk hatinya dengan berbisik “ wahai hati, jika begitu sekali engkau ingin bersedih,rela aku cungkil keluar engkau dari badanku, biarlah aku meneruskan hidup tanpa sekeping hati, agar aku dapat hidup dalam keadaan sentiasa bersabar dengan Penciptaku ”.

Hadi sekarang sudah memahami agama. Takkan dibiarkan perasaannya hanyut tenggelam dek mainan jiwa yang boleh melekakan. Walaupun sedih, dia pasrah. Anak mana yang tidak sedih bila tempat mereka ingin berkongsi kasih sayang, pergi buat selama-lamanya. Hadi mengimbau peristiwa minggu lepas, kali pertama dia bertemu kembali dengan mama dan papanya setelah banyak kali dia melakukan kesalahan terhadap mereka berdua.

Timbalan Mudir pondok, Ustaz Harpan memujuk papa dan mama Hadi untuk bertemu dengan anak mereka setelah 5 tahun ditinggalkan belajar di situ. Papanya, semenjak 5 tahun lepas, selepas mendaftarkan Hadi di pondok moden itu hanya datang untuk membayar yuran bulanan sahaja. Tidak lebih dari itu. Selesai urusan tersebut, terus papanya meninggalkan tempat tersebut tanpa bertanyakan khabar Hadi, macam mana dengan pengajiannya dan sebagainya.

Hati kedua ibu bapanya tertutup untuk mengambil tahu perihal anak tunggalnya itu. Hati mereka sarat dengan kekecewaan akibat perangai Hadi sebelum ini. Betapa Hadi menghancurkan harapan mereka sekeluarga. Hadi yang memilih jalan tersebut. Dia yang memilih untuk hidup dalam kerakusan nafsu ammarah.

Kata Ustaz Harpan, “ pak cik dan mak cik tak mahu ke bertemu dengan anak itu kembali? Dia sering kali mengadu kepada saya yang dia rindukan kalian berdua. Jumpalah sekejap dengannya, sebagai pengubat rindu buatnya”. Mulanya kedua ibu bapanya enggan, dan terus ingin balik seperti biasa hinggalah terpancul keluar kata-kata pelembut dari mulut Ustaz Harpan “ takkan pak cik dan mak cik tak bangga dengan anak itu yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik di sini, Hadi ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin ke Jordan tak lama lagi ”.

Mendengarkan begitu, terkejut papa dan mama Hadi. Biar betul,anak yang dulunya hidup bergelumang dengan dunia yang keji boleh menjadi seperti itu. Bagaikan tidak percaya mereka berdua. Ustaz Harpan tersenyum, kemudian menyambung pendek “ pakcik, mak cik, hati kita ini milik Allah. Sekali cahaya hidayah terpancar masuk menyinari hati kita, ia bisa bercahaya laksana bercahayanya matahari yang menerangi bumi. Seluruh pelusuk bumi diteranginya. Apatah lagi cahaya Allah”.

“ Allah amat kasih kepada hambaNya,jika Allah hendak memuliakan seseorang, dipimpin hamba itu menuju kepadaNya. MengenaliNya. Datanglah seorang hamba itu menghadap Allah dengan memikul 7 lapis langit dan 7 lapis bumi dosa sekalipun, asalkan jangan hamba itu berlaku syirik kepadaNya, pasti Allah mengampuni dosa hamba tersebut ”.

“ Kasihnya Allah kepada hambaNya adalah kasih yang tidak terbatas, hatta jika sekadar terdetik penyesalan dalam diri hamba yang melakukan dosa pun tanpa diluahkan lagi kata-kata taubat, Allah dah ampunkan dosa mereka dengan limpah kurniaNya ”. Itulah kasih sayang Allah ”.

Bercucuran air mata kedua ibu bapa hadi mendengarkan begitu. Kalaulah Sang Pencipta begitu sekali pemurah memaafkan hambanya, mengapa mereka boleh berkeras dengan membenci begitu sekali anak mereka. Walhal, Hadilah zuriat keturunan mereka berdua. Hadi penyeri hidup mereka sewaktu mereka kesepian. Hadi ditatang penuh kasih sayang semasa kecilnya.

Friday, February 5, 2010

Aduhai Si Sayap Kiri....


satu perkongsian tentang tajuk di atas dengan pembaca semua..

Aduhai si sayap kiri, begitulah kiranya tajuk ceramah yang akan dibentangkan hujung bulan ini bertempat di Shah Alam..

saya sendiri diminta oleh kakak saya untuk memberi ceramah berkaitan tajuk diatas khusus untuk muslimat sahaja dalam satu kursus yang dianjurkan..

saya akan menghuraikan tajuk khusus mengenai aspek peranan muslimat sebagai sayap kiri perjuangan..4 peranan utama muslimat akan dihuraikan nanti..

Apa dan bagaimana, akan diupdate nanti..hehe.:)

Monday, February 1, 2010

Ibu..manisnya senyumanmu...

Salam mukaddimah



cuti pertengahan sem yang dilalui tidak terasa lamanya walaupun seminggu jua..lagipun sebelum pulang mengadap wajah ibu, saya berkelana dulu ke beberapa tempat menarik..

Alhamdulillah,saya bersyukur sangat2 diberi ruang berkuliah di tempat yang saya tuju.." Insan Teragung Sepanjang Zaman " begitulah tajuk kuliah yang disampaikan pada malam itu..seronok mengupas isu berkenaan kewibawaan Rasulullah S.A.W..teruja saya, tidak puas rasanya..

ada 2 tujuan saya singgah di perhentian sebelum pulang..pertamanya,berkongsi ilmu dengan masyarakat..keduanya,rahsia diri saya sendiri.hehe,apapun, syukur kepada Allah atas segala kemudahan dunia dan Akhirat..

pada pagi hari sampai ke rumah,terbit rasa sayu di hati untuk melihat ibu dan adik beradik..seketika air mata ini mengalir di hujung sejadah bila dhuha berarak..

saya teringat balik kisah-kisah sahabat2 saya berkenaan ibu mereka..betapa sayang mereka pada ibu masing-masing..lagilah sahabat2 saya itu orang yang mendapat didikan agama,makin terasa sayu bila melihat kasih sayang yang terzahir pada pancaran wajah mereka..

maka, saya membuat kesimpulan..ibu kita bukanlah insan terbaik,tetapi dia adalah ibu yang terbaik untuk kita yang nakal ini daripada kecil hinggalah sekarang dan setiap orang pasti mengatakan ibu merekalah insan terbaik buat mereka..

setiap orang ada cara tersendiri dalam bermanja dengan ibu masing-masing..saya juga begitu.tidak puas rasanya merasa masakan ibu,mendengar ngomelan ibu, tengok ibu mengemas rumah dan lain-lain.

usah dihurai lagi dalil al-quran dan hadis Nabi berkenaan ibu,kerana sudah jelas di sisi kita siapa itu IBU..jadi,saya menyimpulkan betapa ibu itu, manisnya senyumanmu pada anakmu walaupun senyum dalam duka..

dan ibu itu, kurniaan Allah yang tidak ternilai..