Sunday, July 18, 2010

Seligi itu..airnya tetap sejuk seperti dulu.. tamat

Perkara pertama yang aku buat bila sampai ke pondok ialah menjenguk kelibat tuan guruku di dalam biliknya dan lantas memeluknya..dialah tuan guru yang banyak mengajarku tentang erti hidup sebagai hamba Allah..dia guruku pada agamaku.Berkata ulama ‘ guru dalam agama ibarat bapa kita dalam agama’. Maka wajib ke atasku mengasihi dan menghormatinya seumur hidupku. Ulama itu barang pusaka daripada Nabi. Tidak ada galang gantinya yang lebih berharga daripada seorang guru yang memimpin kita ke jalan rohani..

Keriuhan mula terasa bila bertemu mata dengan sahabat-sahabat lama. Banyak cerita lama dan baru dikongsi bersama sebagai perencah perbualan antara kami. Masing-masing menceritakan pengalaman diri berada jauh antara satu sama lain. “ Macam mana anta syeikh,perjuangan di sana,kata berkuliah juga di sekitar Selangor ?” sahabatku memulakan bicara. Belum sempat aku menjawab, dia menyambung lembut “ Ya akhi,sentiasa ingat,perjuangan islam yang kita pilih ini pahit perjalanannya. Lalui lorong tersebut dengan penuh ketabahan hati. Jadikan sirah Nabi yang kita cintai sebagai panduan kerana terselit di celah-celah lembaran sirah itu,kemanisan yang berlipat.”

“ Bilamana kita memperjuangkan Islam, Allah bukakan pintu hati semua makhluk baik di langit mahupun di bumi untuk mengasihi kita,kecuali 2 golongan makhluk sahaja iaitu manusia yang derhaka dan jin yang derhaka, maka berhati-hatilah ” nasihatnya lagi. Terkedu aku mendengar nasihat daripada seorang sahabat. Aku menjawab ringkas “ Alhamdulillah,setakat ini ana kuat “ sambil sedikit terasa hiba. Malu rasanya untuk berkongsi dengan sahabat suka duka dalam menempuh perjuangan menyebarkan ilmu Allah Taala.

Biarlah batin ini sahaja yang memahaminya. Sekali terimbas ketika di universiti, aku bersyukur di beri peluang untuk menyampaikan kuliah sekitar negeri Selangor. Berbekalkan sebuah motosikal, aku menempuh pengalaman berkongsi ilmu dengan masyarakat. Banyak pengalaman manis dan pahit dikutip sepanjang kembara ini..hanya aku dan Allah sahaja yang mengetahuinya.

Panas dan hujan menjadi satu kelalian buat diri ini. Andai aku mampu,pasti akan
kuusaha untuk pergi jua bagi menyampaikan kuliah. Kadang-kadang tubuh yang penat mengganggu akibat seharian menjalani kelas pengajian di universiti,pada waktu maghrib dah bersiap untuk keluar berkuliah..rasa penat cuba aku ketepikan bilamana teringat kata-kata Imam Ahmad ibn Hanbal “ tiada waktu rehat bagi seorang pejuang Islam kecuali setelah sebelah kakinya sudah melangkah ke pintu syurga”. Juga malu pada kekerdilan diri teringatkan kisah seorang ulama besar kita dahulu ketika mana hujan lebat,air naik hingga ke paras dada, namun tetap diharungi air tadi untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat,kerana perjuangan tidak pernah berakhir katanya.

Kadang-kadang diri ini menangis sendirian sewaktu membonceng motosikal.Terasa sangat kecil pengorbanan yang dilakukan untuk Islam. Tekad aku ketika itu,biarlah Allah membalas segala kepenatan yang sedikit ini dengan janji cintaNya di akhirat nanti. Kerana aku cuma mengejar dan mengharap cinta dan redha Allah,bukan sanjungan manusia..

Hanya, aku terasa kuat bila terkenangkan pondok inilah yang melatih aku begitu..bukit yang tersenyum indah,pokok-pokok getah yang masih bersisa mengeluarkan susu getah buat si penoreh dan kesejukan tempat yang menambat hatiku..bila terdengar azan,aku minta diri untuk ke tempat mengambil wuduk dan ternyata,airnya tetap sejuk seperti dulu,ketika kali pertama aku sampai ke sini dahulu.. Eh,sejuknya air itu..tamat.

Saturday, July 10, 2010

Seligi itu..airnya tetap sejuk seperti dulu.. vol 1

Lama benar diri ini tidak menjenguk ke pondok sejak kaki melangkah ke universiti..terasa sangat rindu dengan tempat itu.rindukan sahabat-sahabat sepengajian,rindukan suasana talaqqi,rindukan tuan guru,rindukan papan buruk tempat melabuhkan badan berehat,juga rindukan nasi kosong berlaukkan telur dadar dan sedikit kicap manis.

Bila mejejakkan kaki ke pondok,terasa sayu benar hati ini..sesekali merembes keluar air mata terkenangkan pengalaman dahulu..di sini tempat aku membesar sebagai seorang insan yang mengenal halal dan haram,di sini tempat aku senyum dan ketawa dengan teman-temanku..

“ enta yang bonceng ana boleh,ana rasa sejuk la syeikh ”, terngiang lagi kata-kataku pada sahabatku dahulu ketika mana kami nak keluar belajar ilmu rawatan islam pada lewat malam di luar dari pondok di Kok Lanas..” nta ni,macam-macam la” mengomel sahabatku Rashid..” boleh,tapi kena belanja ana makan roti canai la,hehe” sambungnya sambil menjeling padaku.” Amboi, pandainya dia “ aku menjawab sambil tersengih dengan telatah sahabatku itu.kami membonceng motor bersama.

Pukul 11 malam kami keluar dari pondok untuk belajar ilmu rawatan islam,pukul 1 pagi lebih baru balik ke pondok. Di tengah jalan,macam biasa pekena dulu roti canai dan tea ‘o’ di kedai tepi jalan di Selingsing. Begitu rutin mingguan kami..pahitnya mencari kemanisan ilmu di celah-celah perjuangan yang berbaki..namun,kenikmatan berukhuwah dan mengaji ilmu menjadikan kami lali dengan kelewatan malam..biarlah mata ini bersengkang penat untuk sementara waktu bagi mencari bekal ilmu di dada agar kami bisa terlelap panjang dengan penuh lena diulit mimpi sang bidadari nanti.

Namun, saat itu jarang lagi kini apabila aku makin sibuk dengan urusan di universiti..kadang-kadang rasa malu juga bilamana sahabat menegur bila aku berziarah ke pondok,tak dapat nak singgah lama lagi kat situ.kini,sekadar dapat singgah pun lebih kurang 3,4 hari akibat cuti yang pendek.Kedengaran sayup-sayup rasa desir pokok seolah menyambut lembut sayuan hatiku..seolah pokok itu berbicara manis mengingatkan kenangan dahulu..

Ya,aku tak lupa suasana dulu,suasana yang membina diriku menjadi seperti hari ini kerana disinilah tempatku bersusah payah,disinilah air mataku banyak tumpah sebagai tanda kekerdilan diri,disinilah tempat aku mengerti aku sebagai seorang pejuang agama..