Friday, November 13, 2009

Renungan Unta Uhud

Suatu malam, ketika mana hati saya diselubungi sedikit kesedihan, saya membelek kitab lama saya dahulu. Entah kenapa, saya terpaku pada kisah seorang sahabat Nabi. Saya terkesan sekejap dengan cerita syahidnya seorang sahabat Rasulullah yang bernama Ammar. Ammar seorang yang tempang, justeru bila tercetusnya perang Uhud, dia dikecualikan daripada berjihad.

Ammar mempunyai 4 orang anak dan kesemua mereka hadir bagaikan perwira ke medan perang. Isteri Ammar pula betapa kasihkan suaminya agar syahid di medan perang, menggesa Ammar untuk turut serta ke Uhud. Kerana isterinya sedar, betapa ganjaran yang bakal Allah kurniakan kepada seorang isteri yang mana suaminya syahid di jalan Allah.

Ammar yang menyahut seruan isterinya terus mengambil senjata dan menghadap kiblat seraya berdoa “ Wahai Allah, jangan Engkau biarkan aku kembali lagi kepada keluargaku ”. Terus, dengan semangat cintakan syahid, Ammar mara ke medan Uhud dengan penuh berani.

Dia berjuang bermati-matian sehinggalah gugur syahid. Apabila sampainya berita kematian Ammar, isterinya datang membawa seekor unta untuk membawa mayat suaminya pulang. Yang peliknya, unta tersebut enggan berdiri. Bila dipukul dan disebat dengan begitu kuat sekali, unta itu hanya sekadar berdiri tetapi tetap enggan pulang ke kota Madinah sebaliknya merenung penuh kesayuan ke medan Uhud.

Sakitnya pukulan itu bukan kepalang, namun unta itu tetap enggan. Cumanya, unta itu merenung medan Uhud masa demi masa, penuh kesayuan,penuh kerinduan. Seolah-olah sesuatu menghalang unta itu daripada meninggalkan medan Uhud. Seolah di sana tersimpan kenangan yang cukup keramat.

Berita itu dikhabarkan kepada baginda Rasulullah dan Nabi menjawab agar para sahabat bertanyakan isterinya apakah yang dilakukan oleh suaminya sebelum bertolak ke medan Uhud kerana unta itu memang diperintahkan agar tidak meninggalkan medan Uhud.

Isterinya lalu memberitahu Rasulullah bahawa suaminya menghadap kiblat dan berdoa agar tidak balik lagi ke pangkuan keluarganya. Maka Nabi menjawab lembut “ kerana itulah unta itu enggan balik ke rumahnya ”.

Saya terus terkenangkan kisah saya. Penuh kesayuan, saya merenung kembali beberapa kisah manis buat saya yang sukar saya tinggalkan. Saya seolah-olah seperti tabiat kisah unta Uhud yang enggan meninggalkan medan Uhud. Dan saya enggan meninggalkan kenangan manis ini.

Namun, akhirnya saya terpaksa membawa jasad saya pergi dan saya tinggalkan kenangan manis itu dalam bungkusan perasaan yang di balut rapi. Tiada sesiapa yang bisa membukanya. Tiada sesiapa. Itulah kesedihan saya.

Wednesday, November 11, 2009

Sudah Tiba Kunjungan Ini...

Saya memulakan madah ini dengan secebis perkongsian yang tak seberapa. Ianya cukup dhaif. Apapun, rahsia buat diri saya yang menempuh perjalanan menuju kepada Allah terletak di sini. Ilmu yang digali dari dada para ulama saya genggam erat dalam diri. Saya renung benda ini semua sebagai satu ‘ warning ’ buat diri yang sentiasa mengintai ruang untuk melakukan maksiat kepada Allah. Sejahat-jahat maksiat bagi saya adalah maksiat kejahilan. Dosanya tak terampun kecuali dengan jalan belajar.

Justeru, saya merasakan saya yang jahil walaupun terdengar di telinga saya kononnya saya mengaji banyak ilmu. Rupanya, saya sedari itu tipuan syaitan yang menyesatkan. Acap kali tuan guru saya nasihatkan saya “ tak kanlah syaitan itu bodoh ”. Bermakna, dengan apa cara sekalipun syaitan akan tipu kita dan saya sedari saya banyak jatuh terperangkap. Wahai Allah, ampunilah dosa hambaMu ini, sentiasalah pimpin aku dalam dakapan hidayahMu dan kasih sayangMu.

Renungan inilah yang menjadi satu titik tolak kepada saya untuk membina rasa takut kepada Allah. Saya cuba terbayangkan andainya akulah Wahai Allah yang menjadi mangsa perhitungan kejahatan di Akhirat yang Maha Dahsyat, gerunnya aku. Mengenangkan begini, saya menangis. Hari Perhitungan menanti kita. Semakin hari,semakin hampir saatnya. Bayangkan, kalau kita hidup penuh beragama, tiba-tiba saat ajal datang hati kita berpaling dari iman, bagaimanakah nasib kita?

Nabi bersabda “ saat penentu mulia dan celakanya seseorang hamba adalah ketika nyawa di hujung halkumnya ”. Di sinilah, perlunya muhasabah untuk kita. Maafkan saya, berkongsi ilmu serba sedikit monolog saya dengan Allah untuk satu hari yang kunjung tiba. Saya mengaminkan doa bismillah,justeru dalam samar-samar cahaya malam kita berqiamullail, kita kunyah bersama.....

Wahai Abdullah, sedarkah kamu bilamana sampainya ajal kamu, saat itu tidak akan dilewatkan atau dicepatkan hatta sesaatpun. Renggutan dari Izrail boleh jadi renggutan yang penuh kasar dan keras hingga berkerut penuh kesakitan si mangsa tetapi boleh jadi juga tarikan kasih sayang yang penuh dengan kelembutan, itupun sakitnya seperti 300 kali tetakan pedang secara hidup-hidup.

Kamu memilih yang mana?

Wahai Abdullah, tahukah kamu andainya tidak ada malaikat yang memegang kamu ketika rohmu dicabut keluar, nescaya kamu menggelupur bagaikan binatang yang disembelih?

Wahai Abdullah, perpisahan roh dan jasad adalah suatu yang amat memeritkan. Rasulullah sendiri ketika mana rohnya ditarik sampai ke lutut, sakitnya tidak terperi. Berpeluh dahi baginda. Bila ditarik lagi, Jibril memalingkan muka tidak sanggup melihat kekasih Allah sakit demikian rupa, bagaimanakah kamu pula yang penuh dengan bebanan dosa dan maksiat? Bahkan,kamulah kaki maksiat sebenarnya. Maksiat kejahilan.

Wahai Abdullah, ada roh yang diterima naik untuk bertemu Allah, tetapi ada juga yang dipalu dan ditendang keluar ke bumi kerana kecacatan aqidahnya kepada Allah, kamu bagaimana?

Wahai Abdullah, roh orang beriman akan disambut oleh malaikat dengan wajah yang berseri-seri. Mereka pakaikan roh itu dengan pakaian syurga dan bau-bauan syurga. Tiap kali melintasi pintu langit, malaikat penjaga langit menyambutnya dengan gembira hinggalah bertemu Allah. Roh itu dikembalikan ke dalam jasadnya dan menjawab persoalan munkar dan nakir dengan mudah. Dibentangkan baginya permaidani dari syurga dan dibukakan lorong menuju ke syurga.

Roh yang kafir pula akan disambut oleh malaikat dengan bentakan dan herdikan yang keras. Dipakaikan roh itu dengan pakaian neraka. Tiap kali melintasi pintu langit, malaikat penjaga langit mengherdik dengan seruan yang buruk. Roh itu dihalang bertemu Allah dan terketar-ketar menjawab soalan munkar nakir. Dibentangkan baginya hamparan dari neraka dan dibuka lorong ke neraka.

Kamu memilih yang mana?

Wahai Abdullah, kubur boleh menghimpit seseorang itu sehingga berceragah tulang rusuknya, adanya kala jengking dan binatang buas yang menerkam setiap masa, ular yang panjangnya sebulan perjalanan dengan sinaran mata yang berapi akan memagut mereka yang derhaka kepada Allah namun kubur juga boleh jadi seluas mata memandang ditemani teman yang tampan wajahnya, wangi baunya.

Kamu memilih yang mana?

Wahai Abdullah, ada kalangan kita bangkit dari kubur dengan wajah yang bercahaya dan ada juga yang bangkit dengan wajah yang hitam legam, hangus terbakar. Mereka itulah golongan yang menjual agama dengan dunia. Hidup berpura-pura dengan agama. Bagaimanakah kamu? Hidup dalam kepura-puraan perjuangan Islam?

Itulah saat hari yang menakutkan. Hari yang kelam kabut. Hari yang penuh dengan teriak tangis manusia. Hari yang masam mencuka segala muka manusia. Hari yang tidak berkuasa diri manusia terhadap apapun, kecuali urusan pada hari itu hanya daripada Allah. Allah pembuat keputusan mutlak pada hari itu. Hari itu merupakan hari kekesalan, hari keluh kesah dan hari yang penuh dengan ketakutan.

Wahai Abdullah, ada yang bangkit nanti dengan bermuka babi,bermuka anjing dan sebagainya. Ada yang berjalan terengsot-engsot, ada yang berjalan kaki ke atas, ada yang berjalan dengan perut mereka. Ada juga yang bangkit dengan kulit muka hancur bagai disiat-siat.

Maka kamu bagaimana?

Wahai Abdullah, pada hari itu anak tidak mengenal ibu bapa, tidak mengenal adik beradik, suami tidak pedulikan isteri, tuan tidak pedulikan hamba, pemimpin tidak pedulikan rakyatnya. Masing-masing takut dengan bebanan diri sendiri. Hatta para Nabi-Nabi pun keluh kesah dan pucat muka mereka.

Bagaimanakah kamu?

Wahai Abdullah, di mahsyar nanti manusia lemas dalam keringat peluh sendiri. Mereka diabaikan oleh Allah dan tidak dipedulikan oleh Allah buat seketika waktu di Mahsyar sebagaimana mereka mengabaikan perintah Allah dahulu.

Wahai Abdullah, tahukah engkau ketika mana manusia berduyun-duyun datang meminta pertolongan daripada para Nabi untuk merayu agar Allah percepatkan perkiraan amalan, Nabi Adam menolak lantaran 1 kesilapan yang dilakukannya dahulu. Nabi Adam berkata “ aku malu kepada Allah, carilah orang lain ”.

Tahukah kamu masa pencarian bagi setiap Nabi itu 100 tahun lamanya baru bertemu dengan seorang Nabi? Itulah kesesakan umat manusia. Nabi Nuh menolak, Nabi Ibrahim menolak, Nabi Musa menolak bahkan Nabi Isa pun menolak. Kepada siapa manusia akan mengadu? Walhal murka Allah pada hari itu adalah murka yang semurka-murkanya.

Ketahuilah Abdullah, ketika saat itu hanya seorang susuk tubuh yang dipanggil dengan nama Muhammad Bin Abdullah sahaja yang boleh membuat rayuan. Rasulullah sujud kepada Allah dan memohon dibuat perkiraan amalan. Orang pertama dihisab adalah umat Baginda, iaitu Abu Bakar As-Siddiq.

Tahukah kamu sejauh mana pengorbanan Abu Bakar kepada Baginda Rasulullah?
Kamu bagaimana? Siapakah Muhammad Bin Abdullah buat kamu?

Wahai Abdullah, perit dan seksanya manusia di mahsyar hingga ada segolongan yang mengatakan “ kami lebih rela dicampakkan ke neraka daripada menanggung derita di sini “. Lihatlah, sampai begitu sekali dahsyat pertemuan di mahsyar nanti sampai ada golongan berkata demikian walhal neraka itu lebih panas lagi.

Adakah kamu yakin golongan itu bukan KAMU?

Wahai Abdullah, di mahsyar nanti,manusia dibahagikan kepada 3 golongan iaitu golongan mukmin, golongan munafik dan golongan kafir. Golongan mukmin berada di bawah panji Rasulullah, golongan munafik bersama Abdullah bin Ubay manakala golongan kafir bersama Firaun, Haman, Namrud dan orang-orang mereka.

Kamu bakal mengisi tempat mana?

Wahai Abdullah, di mahsyar nanti, hanya 7 golongan yang bakal bernaung di bawah Arasy Allah iaitu
1. Pemimpin yang adil
2. Mereka yang membesar dalam beribadat kepada Allah
3. Mereka yang hatinya terpaut pada masjid
4. Pemuda yang diajak oleh perempuan yang cantik lagi jelitawan untuk berbuat zina, tetapi dia menolak semata-mata takut kepada Allah.
5. Orang yang bersedekah hingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya.
6. Mereka yang berkasih sayang kerana Allah
7. Orang yang berzikir dalam waktu yang sunyi dan sepi, mengalir air matanya kerana menyesali dosa terdahulu dan takut kepada Allah.

Kamu tergolong yang mana?

Pemimpin? Tidak sama sekali.

Beribadat kepada Allah? Jauh panggang dari api. Kamulah pelaku dosa sebenarnya.

Terpaut pada masjid? Ye ke? Sempurnakah solat berjemaah kamu? Walhal, sakit demam biasa dan hari rintik-rintik hujan pun dah jauh kamu dengan masjid. Kamu lebih leka dengan tempat-tempat yang melalaikan sebenarnya.

Menolak berbuat zina? Kukuhkah iman kamu dengan ujian sebegitu? Walhal, kamu belum lagi diuji oleh Allah dengan hal yang sedemikian. Itulah kamu.

Sedekah? Kamulah yang bakhil harta..betapa kamu berkira-kira untuk menginfakkan harta pada perjuangan Islam..

Berkasih sayang kerana Allah? Sedangkan kamu bersahabat di waktu senang sahaja,waktu susahnya sahabat kamu,ke mana kamu??? Ketahuilah semua, sukar mencari kawan yang sanggup membela kita dunia dan akhirat sebenarnya..kadang-kadang, merekalah yang menikam kita..

Zikir pada Allah? Menangis menyesali dosa terdahulu? Oh tidak, hati kamu tetap keras dan degil. Sukar bagi kamu untuk menitiskan air mata ketika bermunajat kepada Allah..jika keluar pun,itu air mata buat-buat, air mata tipuan diri sendiri. Kamu tak rasa bersalah dengan apa yang kamu lakukan pada Allah..

Wahai Abdullah, di mahsyar nanti pun neraka sudah mulai memekik mengintai mangsa. Dari jauh, neraka sudah mula menyeru. Memanggil-mangil senarai nama penghuninya. Diheret penuh rakus menggila mereka itu. Bunyi luapan neraka pun dah cukup mengerikan..

Adakah kamu cukup pasti nama kamu tidak diseru oleh neraka?

Wahai Abdullah, bila mana manusia dilemparkan ke neraka, Allah menyumpah dan melaknat mereka dengan panggilan yang menjelekkan “ Hei Si celaka, mengapa kamu sombong kepada Aku dahulu, mengapa kamu derhaka kepada aku dahulu? Pada hari ini, Akulah Raja, keluar sesiapa yang ingin mencabarKU, Aku ingin berdepan dengannya ”.

Wahai Abdullah, ketahuilah bila Allah melaknat seseorang, seluruh isi langit dan bumi pun turut melaknatnya. Mereka akan dipalu sehingga pecah kepala mereka dan terburai isi perut mereka dengan lembing neraka nanti.

Wahai Abdullah, telinga kamu akan dititik dengan cairan timah yang panas sehingga bergelegak otak kamu lantaran kamu suka mendengar umpatan dan kejian kepada seseorang dan mendengar apa yang Allah haramkan.

Wahai Abdullah, mata kamu akan dicucuk dengan jarum neraka dan dicungkil keluar nanti dengan pengcangkuk neraka yang sangat tajam. Kamu suka melihat benda yang Allah haramkan. Kamu tidak menjaga pandangan kamu walhal mata itulah yang akan kamu gunakan untuk melihat Allah jika kamu ke syurgaNya nanti.

Wahai Abdullah, lidah kamu akan ditarik panjang keluar dan disiat satu persatu sehingga hancur lantaran kamu suka berdusta, menaburkan fitnah sehingga memecah belahkan manusia.

Wahai Abdullah, tahukah kamu apakah minuman ahli neraka itu? Iaitulah air yang mana jika dicurahkan satu timba ke dunia ini, nescaya seluruh hidupan yang bernafas akan rebah pengsan kerana baunya yang sangat busuk.

Tahukah kamu apakah makanan ahli neraka itu? Iaitulah buah kayu Zaqqum yang mana jika setitik dari perahan buah Zaqqum jatuh ke dunia, setiap makhluk yang bernyawa juga akan hancur luluh isinya.

Wahai Abdullah, ada segolongan nanti yang diseru untuk ke syurga Allah tanpa dihisab, wajah mereka bercahaya seperti matahari. Mereka itu golongan yang berada di masjid untuk tunaikan solat sebelum azan lagi.

Golongan kedua juga masuk syurga tanpa hisab, wajah mereka bercahaya seperti bulan purnama. Mereka itu golongan yang dalam perjalanan terdengar azan untuk ke masjid.

Golongan ketiga juga ke syurga tanpa hisab, wajah mereka bercahaya seperti cahaya bintang. Mereka itu golongan yang apabila terdengar azan, mereka berhentikan kerja mereka dan terus ke masjid untuk solat berjemaah.

Maka, bagaimanakah kamu? Waktu solat hampir luput, baru tergesa-gesa nak bersolat? Tidakkah kamu berharap salah satu golongan itu adalah kamu?

Wahai Abdullah, Allah berfirman dalam satu hadis qudsi ‘ wahai anak Adam, barangsiapa melakukan dosa kepadaku dalam keadaan ketawa, Aku lemparkan dia ke neraka dalam keadaan menangis. Barang siapa yang menangis takut kepadaKu, Aku masukkan dia ke dalam syurga dalam keadaan ketawa’.

‘ Wahai anak Adam, tidak akan masuk ke syurgaKu melainkan mereka yang merendah diri terhadap kebesaranKu dan mengingatiKu setiap waktu serta melawan nafsu syahwatnya semata-mata keranaKu ’.

Maka , yang terakhir ini, apakah pilihan KAMU???????
Inilah kemuncak monolog hamba dengan Pencipta...SYURGA dan NERAKA di hadapan. Itu destinasi terakhir setiap manusia. Disanalah kesudahannya.

Saya menangis teresak-esak, dalam tadahan tangan berdoa kepada Allah

“ Wahai Allah, ampunilah dosa-dosaku terdahulu. Selamatkan diriku pada hari yang menakutkan itu. Bangkitkan aku bersama dengan Nabiku Muhammad S.A.W di Akhirat kelak. Himpunkan aku bersama-sama dengan perhimpunan para-para Nabi,para Syuhada’, para Siddiqin dan para Solihin ”.

“ Selamatkan juga kedua ibu bapaku, tuan guruku semua, adik beradikku, sahabat-sahabatku dan mereka yang kasih kepadaku keranaMu Wahai Allah ”.

Rautlah tangan ke muka dengan penuh kehinaan diri. Rupa-rupanya, kita ini lemah, tersangat lemah. Kalaulah bukan kerana rahmat Allah, pasti kita tidak bisa menempuh jalan ke syurga. Harap dan takutlah menjadi sumber kekuatan.


Monday, November 9, 2009

Monolog Hamba Dengan Pencipta

salam perjuangan..

maafkan saya atas kelewatan mengupdatekan blog ni..
beberapa hal terpaksa saya uruskan berkaitan peribadi saya..Alhamdulillah..ianya makin selesai..

cerpen ini dah hampir siap,akan saya postkan tak lama lagi..hehe..selamat membaca..