Monday, October 19, 2009

Qurrotul'aini 2

Selesai menghantar Muhammad,aku pulang ke rumah. Fikiranku kembali menerawang. Mengimbau suka dan duka lama.Terngiang-ngiang kata anakku petang tadi. Aku cuba membelek foto-foto lama. Terlihat gambarku dan isteriku waktu kahwin dahulu. Bahagia rasanya hari tersebut. Masakan tidak, aku dinikahkan sendiri di hadapan tuan guruku. Ramai sahabat-sahabat kami yg datang. Pertamanya, kerana meraikan kami . Keduanya, mereka ingin bertemu siapakah tok guruku, kerana majlis kami diserikan dengan kehadiran seorang ulama .

Majlis kami, walaupun cukup ringkas namun amat bermakna. Aku mengambil berkat tuan guruku yang akadkan hubungan kami. Doaku agar ia menjadi titik tolak kepadaku untuk membina hidup berkeluarga berteraskan paksi payungan ulama. Ia sejuk dan menyegarkan. Sesejuk air terjun nun di kaki bukit tinggi. Beberapa keping gambar lama kubelek satu persatu. Sebak rasanya melihat gambar-gambar tersebut.

Memoir lama datang satu persatu. Aku juga masih ingat saat-saat awal pernikahan kami. Betapa tidak, rumah tangga kami dipenuhi dan dicambahi dengan majlis-majlis ilmu. Aku sendiri yg mengajarkan ilmu agama kepada isteriku. Malam-malam kami diserikan dgn perbahasan ilmu aqidah, ilmu fekah dan tasauf. Tidak lupa juga aku mengajarkannya ilmu hadis. Ilmu-ilmu haraki turut dikupas. Memang seronok. Selesai mengajar, ada pulak hidangan air dan sedikit kuih-muih. Isteriku yang buatkan, katanya air tangan isteri lebih berkat..keh..keh.nak tergelak aku rasanya,habis tu air tangan suami? aku bertanya sambil bergurau..

Pernah satu malam aku syarahkan tentang hikmah melakukan Sai’e di mekah. Ia bermula dari bukit safa ke marwah. Aku mengatakan ia mengambil sempena dgn pengorbanan yang dilakukan oleh seorang wanita tabah yang bernama Siti hajar. Sama nama dengan isteriku. Bagaimana tabahnya wanita itu mencari air untuk diberikan kepada anaknya Ismail, bayi kecil yang ditinggalkan oleh ayah demi menyahut seruan agama. Nabi Ibrahim meninggalkan mereka berdua di tengah padang pasir yang tandus tanpa menoleh ke belakang, bukannya kerana tidak kasihankan isteri dan anak tercinta, tapi dia takut jika dia menoleh ke belakang hatinya tidak tergamak untuk berbuat demikian.

Namun,kerana yakin dengan janji Allah, misi diteruskan jua. Baginda pergi menyahut seruan Allah dan istiqamah dengan prinsipnya. Betapa jiwa Siti Hajar cukup teruji. Duji sedemikian rupa hebatnya. Tapi, Siti Hajar, kataku pada isteriku, wanita yang bukan sekadar taat pada suami tetapi berjiwa hamba kepada Pencipta. Hatinya dijeruk dan diperam cinta secinta-cintanya kepada Allah. Dia wanita yang mengerti betapa untuk mendapat kasih sayang Allah, pengorbanan besar perlu dilakukan.

Mendengarkan cerita tersebut, isteriku bergurau “ bang, boleh tak kalau Siti nak jadi macam Siti hajar, tabah hadapi hidup dan taat suruhan Allah. Siti nak Allah sayang kat Siti” dia menyambung lagi “ tapi abang jangan la selalu tinggal Siti kat rumah, sibuk je memanjang, tak der masa dengan isteri sendiri”. Aku tersenyum, kemudian membalas lembut “ Siti, abang tinggal Siti bukan saja-saja tau, abang pergi menyahut tugas dengan masyarakat, untuk perjuangan Islam sayang”.

“Siti nak tau sesuatu tak?” aku bertanya sambil tergelak. “ apa dia,bang” jawabnya manja. “ Siti, kalau Siti nak tahu, isteri yang redha suaminya tinggalkan dia demi perjuangan Islam, di Akhirat nanti dia masuk syurga 500 tahun dahulu tau berbanding suami dia. Allah bagi peluang untuk si isteri berhias diri bersiap sedia menyambut kedatangan suami tercinta di depan pintu syurga nanti, Siti tak nak ke?” kali ni aku bertanya sambil mencubit pipinya.

“ eh, mestilah Siti nak. Siti nak bersiap awal-awal, nak tunggu abang,”. Dia menjawab. Aku pula membalas “ kalau siti nak tunggu abang, Siti mestilah selalu tolong abang dalam perjuangan Islam ni ya, siti kena janji yang susah dan senang dalam jalan yang kita pilih ni, kita tanggung bersama ya”. Di membalas seikhlas hatinya “ ya,kita tanggung bersama nanti”.

Memang begitu rutin hidup kami. Aku cuba mendidik isteriku agar hatinya sentiasa tenggelam dalam keasyikan cinta kepada Allah. Kataku padanya juga, “nilai hidup kita ni sebenarnya hampas sahaja tanpa takwa”. Tanpa panduan takwa, manusia hidup penuh kesombongan. Sombong dengan kebanggaan diri sendiri walhal manusia itu sendiri dijadikan dari sumber yg hina. Betapa tidak, dari air mani yang kotor.

Geli geleman kita nak melihatnya, apatah lagi menyentuhnya. Tapi itulah hakikat. Manusia dijadikan dari situ. Tapi bila manusia mengenal dunia, mereka lupa asal usul. Lupa akan kondisi mereka asalnya dari benda yang jijik.
Namun, kami mengecapi hidup bersama tidak lama. Kebahagiaan yang kami kecapi diselit dengan cuitan dari Allah Taala. Hikmah yang sangat besar dan rahsia Allah yang sangat luas. Maha luas. Allah mentakdirkan dia hidup denganku tidak lama. Saat aku terkapai-kapai bertemu teman untuk dikongsi suka dan duka, Allah memanggil hambaNya itu kembali.

2 minggu selepas melahirkan Muhammad, isteriku mengadu sakit dalam perut. Memang sebelum ni pun doktor cakap dia ada sejenis jangkitan virus dalam perut. Anehnya, penyakit tu tak dapat dikesan. Tapi ditambah dengan kesan bersalin, penyakit itu menjadi-jadi. Dia dikejarkan sekali lagi ke hospital.

Masih segar dalam ingatanku, pada waktu pagi tarikh yang tak akan aku lupakan seumur hidupku, dia berkata padaku “ abang, boleh tak abang datang dekat dgn Siti? Siti nak bisikkan sesuatu kat abang”. Aku menghampirkan diri kepadanya. Dia berbisik lembut “ abang,sepanjang hidup dengan abang, abang banyak mengajar Siti mengenali dan mencintai Allah. Siti tak lupa kata-kata abang bahawa ‘ cinta kita sesama makhluk adalah wasilah untuk kita mendapatkan cinta hakiki dari Allah’.

“ abang banyak mengajar Siti kenal erti hidup sebagai hamba, kan bang pernah kata di dunia kita hidup bertuhankan Allah, di akhirat biar kita berjumpa Allah dalam keadaan Allah redha kepada kita,kerana Allah pemilik jiwa kita. Siti nak pergi jumpa siapa pemilik Kita yang sebenarnya,boleh kan bang?”soalnya digenangi dgn air jernih yang mula bertapak di mata itu.

Aku menjawab perlahan “ boleh, abang pun nak pergi sana nanti. Nak tengok Allah senyum kat kita bila kita jumpa Dia nanti”. Aku ingatkan sengaja dia ingin berpesan padaku. Sebelum ni pun, rumah tangga kami dihiasi dengan nasihat-menasihati antara satu sama lain. Tika aku terlupa, dia yang mengingatkanku.

Bahkan, soal ibadat kami pun bersama. Tadabbur Al Quran bersama. Qiamullail bersama. Munajat bersama. Menangis waktu munajat pun bersama. Aku sering kali ingatkan dia tentang hadis yang bermaksud ‘ 2 jenis mata yang diharamkan neraka untuk menjilatnya, pertama mata yang berjaga di jalan Allah. Kedua, mata yang menangis takutkan Allah. Kami ingin sekali mengambil berkat dari hadis ni dengan amalan kami sementara masih hidup ini.

Acap kali aku renung maksud hadis ni secara mendalam. Pintaku,kami berdua sejahtera dari sambaran JahanamMu yang sangat menakutkan itu di hari Akhirat nanti. Sambaran yang tidak mengenal sesiapa. Jahanam menyambar mana-mana orang yang hidup menderhakakan Allah, hidup yang berpaksikan kepada kepuasan hawa nafsu semata-mata.

Jahanam juga mengheret manusia yang rakus kepada dunia. Manusia yang kotorkan diri mereka dengan dosa yang menjelekkan. Jahanam tidak punya perasaan,hanya menurut perintah untuk menyambar dgn rakus. Ia menjilat sesiapa sahaja yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan. Bunyi luapan Jahanam pun dah cukup mengerikan dan menakutkan.
Dari jauh, Jahanam menyeru “ di mana kamu wahai manusia yang dilaknat Allah, di mana kamu wahai manusia yang celaka. Hari ini, tiada tempat untuk kamu melarikan diri, akulah lubuk kamu. Kamu penghuni aku selama-lamanya. Celakalah kamu kerana jauh dari agama sewaktu kamu hidup dahulu. Celakalah,celakalah, celakalah”, Jahanam menyeru.

Ya Allah, hatiku merintih sayu. Meraung dalam kegelisahan hati yang berkecamuk. Bagaimana nasib kami suami isteri nanti? Sentiasa persoalan ni berlegar-legar. Menghantui hidup kami berdua. Kami pohon jauh dari semua itu. Kami bina perasan takut akan azabMu di akhirat nanti.

Namun, menjelang tengah malam, keadaan isteriku makin tenat. Masa tu, hanya aku dan Muhammad yg berusia 2 minggu berada di situ. Dia yang kelihatan lemah menahan kesakitan merenung tepat padaku dan berkata “ bang, Siti bahagia hidup dengan abang, Siti nak minta maaf atas segala salah silap Siti sepanjang hidup kita berdua, kenangan kita berdua hanyalah anak kecil tu ya. Abang jaga dia baik-baik ya. Dekatkan dia dengan Siti, Siti nak cium dia buat kali yang terakhir”.

Lepas itu, nafasnya naik turun tersekat-sekat. Dia cuba bersuara lagi, antara dengar dan tidak “ Siti kasihkan abang dunia dan Akhirat”. Terus keadaannya menjadi nazak. Bertarung nafas dengan Izrail, si pencabut nyawa. Aku mengajarkannya kalimah syahadah dan sejurus mengucap, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir disisiku dan di sisi anak kami. Dahinya terpercik peluh dan bibirnya kelihatan tersenyum.

Ya Allah, beratnya ujianMu ini. Sedihnya hati ini tak terkata. Lidah aku kelu untuk berbahasa. Hati aku bergelora, bagai dihempas gelombang tsunami yang menggila. Aku cuba menahan air mata dari mengalir di sisi anak kecil itu, tapi aku tumpas. Aku tewas dengan perasaan kasih dan sayangku kepada insan yang aku pilih dunia dan Akhirat.

Namun, aku redha, Allah lebih sayangkannya. Ambillah Wahai Allah, aku redha dia pergi menemuiMu walaupun hati ini berat sebenarnya tapi Engkau lebih Bijak membuat percaturan hidup. Kerana Engkaulah Al-Hakim....
******
Aku sendiri yang mandikan, kapankan dan imamkan solat ke atas jenazah isteriku. Aku juga yang merangkul jasadnya untuk dimasukkan ke dalam liang lahad. Sejurus meletakkannya, aku bangkit dan berdoa sebagaimana Rasulullah berbuat demikian pada sahabat baginda yang dikasihi yang wafat dalam satu peperangan. Sahabat-sahabat yang berada di atas kuburan melihat Nabi berdoa demikian masing-masing mengatakan cukup bertuah kalau jenazah itu adalah jenazah mereka.

Kerana itu doa dari Nabi sendiri. Aku berdoa “ Wahai ALLAH, aku kasih kepada isteriku namun Engkau lebih kasih kepadanya. Aku banyak terhutang budi padanya. Dialah penawar waktu dukaku pada jalan Islam. Aku redha padanya dan aku mohon Engkau pun redha padanya. Pertemukanlah kami kembali di syurgaMU nanti”. Aku menangis teresak-esak.

Sayu hati melihat tanah mulai dikambus. Aku yang mendukung Muhammad ketika itu hanya memasang satu azam. Akan kubesarkan anak ini sebagai amanah dari isteriku. Akanku jaga dia baik-baik. Itu janjiku. Alhamdullilah, segalanya selesai. Dia selamat dikebumikan. Teringat aku akan maksud hadis “ seorang isteri yang mati dalam keadaan suaminya redha padanya, maka Allah ganjarinya dengan syurga”. Moga dirimu bahagia di sana sayang. Tunggu abang, abang juga akan ke sana. Detus hati kecil ini.

Aku tersedar dari lamunan panjang. Lama rupanya aku terkenangkan hidup kami dahulu bila melihat foto-foto lama ini. Air mataku juga tumpah, menerjah pipi tanpa disedari. Kerana itulah wahai Muhammad, anakku sayang. Abi tak dapat bawa balik Ummi kerana dia pergi yang tak akan kembali lagi. Maafkan abi sayang. Jiwa abi juga tertutup untuk menerima kehadiran wanita lain dalam hidup ini, walaupun ada orang yang menawarkan abi untuk berkahwin lagi.

Biarlah abi tak kahwin lagi, kerana ibumulah satu-satunya wanita yang istimewa yang mengetuk pintu hati abi. Tugas abi sekarang adalah mendidik kamu. Kata-kata keramat ibumu pada abi masa kamu lahir dahulu “ Siti nak dia jadi macam abang”. Itulah amanah ibumu pada abi. Kamulah pengikat kasih kami berdua. Kamu sebagai kenangan abi pada ibumu. Kamu zuriat kami berdua.
********
Siri terakhir akan menyusul nanti.....

1 comment:

  1. Salam...ana baru jumpa sambungan cerita ni..tak tahu nak kata apa..sangat menyentuh sanubari.

    ReplyDelete