Friday, November 13, 2009

Renungan Unta Uhud

Suatu malam, ketika mana hati saya diselubungi sedikit kesedihan, saya membelek kitab lama saya dahulu. Entah kenapa, saya terpaku pada kisah seorang sahabat Nabi. Saya terkesan sekejap dengan cerita syahidnya seorang sahabat Rasulullah yang bernama Ammar. Ammar seorang yang tempang, justeru bila tercetusnya perang Uhud, dia dikecualikan daripada berjihad.

Ammar mempunyai 4 orang anak dan kesemua mereka hadir bagaikan perwira ke medan perang. Isteri Ammar pula betapa kasihkan suaminya agar syahid di medan perang, menggesa Ammar untuk turut serta ke Uhud. Kerana isterinya sedar, betapa ganjaran yang bakal Allah kurniakan kepada seorang isteri yang mana suaminya syahid di jalan Allah.

Ammar yang menyahut seruan isterinya terus mengambil senjata dan menghadap kiblat seraya berdoa “ Wahai Allah, jangan Engkau biarkan aku kembali lagi kepada keluargaku ”. Terus, dengan semangat cintakan syahid, Ammar mara ke medan Uhud dengan penuh berani.

Dia berjuang bermati-matian sehinggalah gugur syahid. Apabila sampainya berita kematian Ammar, isterinya datang membawa seekor unta untuk membawa mayat suaminya pulang. Yang peliknya, unta tersebut enggan berdiri. Bila dipukul dan disebat dengan begitu kuat sekali, unta itu hanya sekadar berdiri tetapi tetap enggan pulang ke kota Madinah sebaliknya merenung penuh kesayuan ke medan Uhud.

Sakitnya pukulan itu bukan kepalang, namun unta itu tetap enggan. Cumanya, unta itu merenung medan Uhud masa demi masa, penuh kesayuan,penuh kerinduan. Seolah-olah sesuatu menghalang unta itu daripada meninggalkan medan Uhud. Seolah di sana tersimpan kenangan yang cukup keramat.

Berita itu dikhabarkan kepada baginda Rasulullah dan Nabi menjawab agar para sahabat bertanyakan isterinya apakah yang dilakukan oleh suaminya sebelum bertolak ke medan Uhud kerana unta itu memang diperintahkan agar tidak meninggalkan medan Uhud.

Isterinya lalu memberitahu Rasulullah bahawa suaminya menghadap kiblat dan berdoa agar tidak balik lagi ke pangkuan keluarganya. Maka Nabi menjawab lembut “ kerana itulah unta itu enggan balik ke rumahnya ”.

Saya terus terkenangkan kisah saya. Penuh kesayuan, saya merenung kembali beberapa kisah manis buat saya yang sukar saya tinggalkan. Saya seolah-olah seperti tabiat kisah unta Uhud yang enggan meninggalkan medan Uhud. Dan saya enggan meninggalkan kenangan manis ini.

Namun, akhirnya saya terpaksa membawa jasad saya pergi dan saya tinggalkan kenangan manis itu dalam bungkusan perasaan yang di balut rapi. Tiada sesiapa yang bisa membukanya. Tiada sesiapa. Itulah kesedihan saya.

No comments:

Post a Comment