Sunday, July 18, 2010

Seligi itu..airnya tetap sejuk seperti dulu.. tamat

Perkara pertama yang aku buat bila sampai ke pondok ialah menjenguk kelibat tuan guruku di dalam biliknya dan lantas memeluknya..dialah tuan guru yang banyak mengajarku tentang erti hidup sebagai hamba Allah..dia guruku pada agamaku.Berkata ulama ‘ guru dalam agama ibarat bapa kita dalam agama’. Maka wajib ke atasku mengasihi dan menghormatinya seumur hidupku. Ulama itu barang pusaka daripada Nabi. Tidak ada galang gantinya yang lebih berharga daripada seorang guru yang memimpin kita ke jalan rohani..

Keriuhan mula terasa bila bertemu mata dengan sahabat-sahabat lama. Banyak cerita lama dan baru dikongsi bersama sebagai perencah perbualan antara kami. Masing-masing menceritakan pengalaman diri berada jauh antara satu sama lain. “ Macam mana anta syeikh,perjuangan di sana,kata berkuliah juga di sekitar Selangor ?” sahabatku memulakan bicara. Belum sempat aku menjawab, dia menyambung lembut “ Ya akhi,sentiasa ingat,perjuangan islam yang kita pilih ini pahit perjalanannya. Lalui lorong tersebut dengan penuh ketabahan hati. Jadikan sirah Nabi yang kita cintai sebagai panduan kerana terselit di celah-celah lembaran sirah itu,kemanisan yang berlipat.”

“ Bilamana kita memperjuangkan Islam, Allah bukakan pintu hati semua makhluk baik di langit mahupun di bumi untuk mengasihi kita,kecuali 2 golongan makhluk sahaja iaitu manusia yang derhaka dan jin yang derhaka, maka berhati-hatilah ” nasihatnya lagi. Terkedu aku mendengar nasihat daripada seorang sahabat. Aku menjawab ringkas “ Alhamdulillah,setakat ini ana kuat “ sambil sedikit terasa hiba. Malu rasanya untuk berkongsi dengan sahabat suka duka dalam menempuh perjuangan menyebarkan ilmu Allah Taala.

Biarlah batin ini sahaja yang memahaminya. Sekali terimbas ketika di universiti, aku bersyukur di beri peluang untuk menyampaikan kuliah sekitar negeri Selangor. Berbekalkan sebuah motosikal, aku menempuh pengalaman berkongsi ilmu dengan masyarakat. Banyak pengalaman manis dan pahit dikutip sepanjang kembara ini..hanya aku dan Allah sahaja yang mengetahuinya.

Panas dan hujan menjadi satu kelalian buat diri ini. Andai aku mampu,pasti akan
kuusaha untuk pergi jua bagi menyampaikan kuliah. Kadang-kadang tubuh yang penat mengganggu akibat seharian menjalani kelas pengajian di universiti,pada waktu maghrib dah bersiap untuk keluar berkuliah..rasa penat cuba aku ketepikan bilamana teringat kata-kata Imam Ahmad ibn Hanbal “ tiada waktu rehat bagi seorang pejuang Islam kecuali setelah sebelah kakinya sudah melangkah ke pintu syurga”. Juga malu pada kekerdilan diri teringatkan kisah seorang ulama besar kita dahulu ketika mana hujan lebat,air naik hingga ke paras dada, namun tetap diharungi air tadi untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat,kerana perjuangan tidak pernah berakhir katanya.

Kadang-kadang diri ini menangis sendirian sewaktu membonceng motosikal.Terasa sangat kecil pengorbanan yang dilakukan untuk Islam. Tekad aku ketika itu,biarlah Allah membalas segala kepenatan yang sedikit ini dengan janji cintaNya di akhirat nanti. Kerana aku cuma mengejar dan mengharap cinta dan redha Allah,bukan sanjungan manusia..

Hanya, aku terasa kuat bila terkenangkan pondok inilah yang melatih aku begitu..bukit yang tersenyum indah,pokok-pokok getah yang masih bersisa mengeluarkan susu getah buat si penoreh dan kesejukan tempat yang menambat hatiku..bila terdengar azan,aku minta diri untuk ke tempat mengambil wuduk dan ternyata,airnya tetap sejuk seperti dulu,ketika kali pertama aku sampai ke sini dahulu.. Eh,sejuknya air itu..tamat.

1 comment: