Saturday, February 20, 2010

Sekadar cerita budak pondok 1



Malam itu Hadi menangis teresak-esak di atas sejadah. Pilu rasa hatinya. Sekarang baru dia mengerti betapa peritnya kehilangan orang tersayang. Memang dia cukup terasa. Air matanya mengalir laju mengenangkan kenangan sebelum ini. Pagi tadi Pak Cik Kamal, kerani di Pusat Pengajian Pondok memberitahunya bahawa Hadi diminta hadir ke hospital bagi membuat pengecaman ke atas jenazah sepasang suami isteri yang terlibat dengan kemalangan ngeri. Tambah memeritkan, dikatakan kemalangan itu berlaku hanya 2 kilometer dari tempat Hadi belajar.

Rupa-rupanya, jenazah suami isteri itu adalah ibu bapa Hadi. Mama dan papanya. Rasa nak tercabut jantung Hadi melihatkan jenazah kedua-dua mereka. Penuh berlumuran dengan darah. Lagi memilukan, barulah Hadi tahu rupanya mama dan papanya dalam perjalanan ingin menziarahi Hadi buat kali kedua selepas 5 tahun tidak bertemu mata. Hadi juga masih terbayangkan replika kereta yang remuk akibat berlanggar dengan lori pagi tadi. Terlekat di celah-celah pintu kereta cebisan kulit buah limau. Mungkin itu buah tangan untuk aku, bisik hati kecil Hadi.

Jiwa hadi begitu berkecamuk. Rasa sedih yang teramat sangat. Namun, Hadi mengerti bahawa masakan terjadi sesuatu tanpa ada hikmah dan iktibar di sebalik setiap peristiwa itu. Hadi memujuk hatinya dengan berbisik “ wahai hati, jika begitu sekali engkau ingin bersedih,rela aku cungkil keluar engkau dari badanku, biarlah aku meneruskan hidup tanpa sekeping hati, agar aku dapat hidup dalam keadaan sentiasa bersabar dengan Penciptaku ”.

Hadi sekarang sudah memahami agama. Takkan dibiarkan perasaannya hanyut tenggelam dek mainan jiwa yang boleh melekakan. Walaupun sedih, dia pasrah. Anak mana yang tidak sedih bila tempat mereka ingin berkongsi kasih sayang, pergi buat selama-lamanya. Hadi mengimbau peristiwa minggu lepas, kali pertama dia bertemu kembali dengan mama dan papanya setelah banyak kali dia melakukan kesalahan terhadap mereka berdua.

Timbalan Mudir pondok, Ustaz Harpan memujuk papa dan mama Hadi untuk bertemu dengan anak mereka setelah 5 tahun ditinggalkan belajar di situ. Papanya, semenjak 5 tahun lepas, selepas mendaftarkan Hadi di pondok moden itu hanya datang untuk membayar yuran bulanan sahaja. Tidak lebih dari itu. Selesai urusan tersebut, terus papanya meninggalkan tempat tersebut tanpa bertanyakan khabar Hadi, macam mana dengan pengajiannya dan sebagainya.

Hati kedua ibu bapanya tertutup untuk mengambil tahu perihal anak tunggalnya itu. Hati mereka sarat dengan kekecewaan akibat perangai Hadi sebelum ini. Betapa Hadi menghancurkan harapan mereka sekeluarga. Hadi yang memilih jalan tersebut. Dia yang memilih untuk hidup dalam kerakusan nafsu ammarah.

Kata Ustaz Harpan, “ pak cik dan mak cik tak mahu ke bertemu dengan anak itu kembali? Dia sering kali mengadu kepada saya yang dia rindukan kalian berdua. Jumpalah sekejap dengannya, sebagai pengubat rindu buatnya”. Mulanya kedua ibu bapanya enggan, dan terus ingin balik seperti biasa hinggalah terpancul keluar kata-kata pelembut dari mulut Ustaz Harpan “ takkan pak cik dan mak cik tak bangga dengan anak itu yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik di sini, Hadi ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin ke Jordan tak lama lagi ”.

Mendengarkan begitu, terkejut papa dan mama Hadi. Biar betul,anak yang dulunya hidup bergelumang dengan dunia yang keji boleh menjadi seperti itu. Bagaikan tidak percaya mereka berdua. Ustaz Harpan tersenyum, kemudian menyambung pendek “ pakcik, mak cik, hati kita ini milik Allah. Sekali cahaya hidayah terpancar masuk menyinari hati kita, ia bisa bercahaya laksana bercahayanya matahari yang menerangi bumi. Seluruh pelusuk bumi diteranginya. Apatah lagi cahaya Allah”.

“ Allah amat kasih kepada hambaNya,jika Allah hendak memuliakan seseorang, dipimpin hamba itu menuju kepadaNya. MengenaliNya. Datanglah seorang hamba itu menghadap Allah dengan memikul 7 lapis langit dan 7 lapis bumi dosa sekalipun, asalkan jangan hamba itu berlaku syirik kepadaNya, pasti Allah mengampuni dosa hamba tersebut ”.

“ Kasihnya Allah kepada hambaNya adalah kasih yang tidak terbatas, hatta jika sekadar terdetik penyesalan dalam diri hamba yang melakukan dosa pun tanpa diluahkan lagi kata-kata taubat, Allah dah ampunkan dosa mereka dengan limpah kurniaNya ”. Itulah kasih sayang Allah ”.

Bercucuran air mata kedua ibu bapa hadi mendengarkan begitu. Kalaulah Sang Pencipta begitu sekali pemurah memaafkan hambanya, mengapa mereka boleh berkeras dengan membenci begitu sekali anak mereka. Walhal, Hadilah zuriat keturunan mereka berdua. Hadi penyeri hidup mereka sewaktu mereka kesepian. Hadi ditatang penuh kasih sayang semasa kecilnya.

No comments:

Post a Comment