Thursday, February 25, 2010

Sekadar cerita budak pondok 3


Hadi merasakan terlalu hebat ujian yang diberikan Allah kepadanya. Saat dia kembali bertaut kasih dengan kedua ibu bapanya, saat itulah Allah mengambil mereka. Bahkan Hadi tidak sempat pun untuk mengetahui apa yang nak diberikan oleh mamanya. Cumanya, selepas Hadi menyelongkar beg tangan mamanya yang sedikit hangus, dia terjumpa sekeping gambar mama dan papanya dengan seorang anak kecil. Itulah Hadi, gambarnya yang dikucup mesra oleh kedua ibu bapanya.

Juga, dia terjumpa buku akaun yang tertera namanya. Mungkin mama dan papanya ingin berpesan sesuatu dengan gambar tersebut.Makin terasa di hatinya. Sayu yang teramat sangat. Sejadah itu basah dengan linangan air matanya. Hadi mengimbau kembali peristiwa hidupnya dahulu. Sewaktu kecil, memang Hadi seorang anak yang degil dan nakal. Semasa sekolah rendah lagi, perangainya cukup teruk. Dia mula menghisap rokok ketika berada di darjah 4.

Bahkan, Hadi seorang kaki samseng di sekolah. Pelajar-pelajar lain semua takutkan Hadi, dan perangai itu berlanjutan sehinggalah dia ke peringkat menengah. Nasihat ibu bapa dan gurunya tidak dipedulikan sehinggakan ibunya pernah diherdik dengan panggilan “anjing” dan bermacam lagi perkataan kesat yang lain.

Semasa sekolah menengah, Hadi juga terlibat dengan kegiatan gangster dan aktiviti lumba haram. Pelajarannya tidak dipedulikan langsung. Pernah guru sekolah menggantung persekolahan Hadi selama 2 minggu tetapi tak dimaklumkan kepada ibu bapanya pun. Usahkan ilmu sekolah, ilmu asas agama pun tidak dipedulikan. Bukannya mama dan papa Hadi tidak menghantarnya belajar Al-Quran dan Fardu ain, tetapi dia yang keras hati dan melawan cakap mereka.

Hadi keruh bergelumang dengan kegiatan dosa yang dilakukannya. Sembahyang tidak pernah sekali, bahkan Hadi tidak tahu pun macam mana nak membaca Al-Quran. Hal-hal agama tidak dipedulikannya langsung. Sehinggalah tiba satu hari, papa Hadi dipanggil berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah atas satu kes yang dicetuskan oleh Hadi.

“ Maafkan saya Encik Rahman, kami terpaksa buang Hadi daripada belajar di sekolah ini kerana ini merupakan peluang terakhir yang diberikan kepadanya. Nampaknya Hadi sendiri yang memilih jalan hidup ini, maafkan saya ”. bicara pengetua sekolah itu walaupun lembut tetapi ia bagaikan halilintar yang memekik dalam hati papanya.

“ Hadi sekarang ini ditahan dibalai polis kerana dia disyaki mencetuskan pergaduhan membabitkan penggunaan senjata tajam dengan pelajar-pelajar sekolah ini, saya terpaksa maklumkan kepada Encik Rahman supaya Encik dapat pergi ke sana sekarang juga dan membuat jaminan bagi pihak Hadi. Saya tidak mahu masa depan budak itu musnah ”. jelas satu persatu kalimah yang keluar dari mulut pengetua sekolah Hadi.

Gelap-gelita dirasakan dunia ini. Anak yang diharapkan menjadi galasan keluarga, melakukan hal sedemikian kepada keluarganya. Papanya terus ke balai polis dan membuat jaminan bagi pihak Hadi. Kelihatan muka Hadi pucat dek rasa bersalah atas kesilapannya. Rasa malu papanya dengan tindakan Hadi itu.

Selesai urusan dibalai polis itu, petang itu jugalah papa dan mama Hadi memaksa Hadi untuk dihantar belajar ke satu tempat yang jauh di kampung sana iaitulah Pusat Pengajian Pondok, tempat Hadi belajar sekarang. Mulanya, Hadi enggan dan merayu pada mama dan papanya agar tidak ditinggalkannya di situ. Tempat itu terlalu asing buat Hadi. Hadi menangis dan merayu seraya berjanji untuk berubah namun kekecewaan di hati mama dan papanya sukar diubati lagi.

Mereka tidak pedulikan lagi rayuan anak itu. Biar dirasakan akibat perbuatannya selama ini. Mama dan papa Hadi meninggalkan Hadi di situ tanpa menoleh ke belakang pun. Memang mereka betul-betul benci pada anak mereka itu.

Hadi tersentak dengan imbauan lama. Sejarah hitamnya dahulu. Namun selepas peristiwa itu, dia memasang tekad untuk berubah. Dia mahu buktikan dia mampu jadi anak yang soleh satu hari nanti. Dia juga mahu jadi hamba yang terbaik, yang rindukan dambaan kasih Ilahi.



Dalam kesunyian malam itu, Hadi bangkit seraya menunaikan solat hajat 2 rakaat. Selesai solat, dia menadah tangan dan berdoa

“ Wahai Allah, Engkaulah Tuhan yang mempertautkan hatiku dengan hati kedua ibu bapaku kembali. Engkaulah Tuhan yang telah memancarkan cahaya-cahaya dalam hati kekasihMu sehingga mereka mengenal dan mengesakan Engkau ”.

“ Wahai Allah, aku bersyukur padaMu yang menarikku daripada jalan kesesatan selama ini. Engkau menyelamatkan diriku daripada runtutan nafsu, daripada kejahatan diriku sendiri ”.

“ Wahai Allah, Engkau kurniakan ilmu padaku sehingga aku mengenal akan Dikau,sebelum ini manusia lain tidak mengetahui betapa perit bagiku untuk mendapat sedikit ilmu ini, betapa hatiku meronta-ronta untuk keluar daripada jalan ilmu ini namun aku gagahkan jua, kerana aku yakin dengan sinaran hidayahMu yang pasti tak akan sesekali mensia-siakan hambaMu ”.

“ Wahai Allah, kedua ibu bapa akulah yang mengajar aku mengenal semua ini. Mereka yang mendidik aku. Kalau pada hari ini,aku mengenal Engkau dan mengabdikan diri padaMu, merekalah sebagai asbabnya, namun itu semua kurniaan PemurahMu Wahai Allah”

“ Wahai Allah, Engkau mengambil mereka pada saat aku memerlukan mereka, pada saat aku ingin mendapat kasih sayang mereka kembali, namun aku pasrah pada takdirMu. Aku mohon padaMu dengan penuh kedhaifan,penuh kehinaan diri, penuh kejelekan dan penuh kelemahan kudrat sebagai hamba ”,

“ Wahai Allah, aku tidak sempat berbakti kepada mereka lagi selepas ini. Mereka telah pergi selama-lamanya. Jagalah mereka, terimalah roh mereka dalam kalangan mereka yang beriman padaMu. Selamatkanlah mereka “.

“ Wahai Allah, aku mendengar sabdaan RasulMu yang bermaksud ‘ kubur itu merupakan tempat persinggahan pertama daripada persinggahan-persinggahan Akhirat. Jika selamat pada persinggahan pertama ini, persinggahan lain akan menjadi mudah namun jika persinggahan pertama sudah menjadi sukar, maka persinggahan lain akan menjadi lebih sukar lagi ‘. Maka, permudahkan bagi kedua ibu bapaku persinggahan pertama mereka ”.

NabiMu bersabda lagi “ kubur boleh menjadi satu taman daripada taman-taman syurga dan boleh juga menjadi satu lubang daripada lubang-lubang neraka ”. Maka, jadikan kubur kedua ibu bapaku taman daripada taman-taman syurga Wahai Allah.

“ Wahai Allah, pada hari di mana JahanamMu memekik mengintai mangsa, selamatkanlah mereka dari jilatan yang sangat menakutkan itu, selamatkan mereka dari diheret penuh rakus oleh JahanamMu ”.

“ Wahai Allah, bermula saat ini aku tidak dapat lagi menatap wajah kedua ibu bapaku, tempoh baktiku pada mereka juga berakhir, rahmatilah mereka Ya Allah, mudah-mudahan kami bertemu di tangga syurgaMu kelak ”.

“ Wahai Allah, sebagaimana kami hidup di dunia ini sebagai satu keluarga, pertemukan kami di syurgaMu sebagai satu keluarga juga, kami ingin sekali bertemu denganMu nanti, menatap wajahMu ”.

Air mata Hadi mengalir laju. Mudah-mudahan roh mama dan papanya tenang di alam sana. Dia pula, akan meneruskan perjuangan ilmunya ke bumi Jordan sana bagi mencari hakikat makna cinta sejati,hidup di bumi ini, yang diumpamakan jeriji besi yang memagari diri. Hadi bakal berkelana seorang diri lagi.

Kedengaran gema zikir menyebut nama Allah dari ruang peribadatan Hadi. Turun naik nada zikir itu sungguh mengasyikkan. Mendamaikan jiwa. Kalau dahulu, lidahnya kelu dan berat untuk merintih menyebut nama Allah, kini ucapan Subhanallah,
Alhamdulillah dan Allahu akbar bagaikan sebati dengan lidahnya. Dia juga mengetahui apa makna di sebalik kalimah suci tersebut.

Dengan kalimah Allahu Akbarlah nanti Hadi akan beraksi untuk perjuangan Islam. Seisi langit dan bumi menjadi saksi baginya bagi termerainya satu janji yang pasti, hari di mana Allah memuliakan para pejuangNya, semulia-mulianya dan Allah menghinakan musuh-musuhNya, sehina-hinanya.

No comments:

Post a Comment