Tuesday, February 23, 2010

Sekadar cerita budak pondok 2



“ Tolehlah ke belakang, Hadi ada di sebalik pintu itu. Dia yang minta saya untuk berbuat begini “ ujar Ustaz Harpan lembut. Pintu bilik tercuak. Hadi melangkah masuk ke bilik itu dengan wajah yang sedikit bimbang. Bimbang papa dan mamanya masih tidak lagi menerima kehadirannya. Dia sedar, memang dia banyak berbuat salah sebelum ini. Namun, semenjak dihantar ke sini, dia tekad untuk berubah. Berubah menjadi insan yang kamil.

Sebaik menoleh ke belakang, papa dan mamanya begitu terpegun sekali. Perasaan mereka bercampur baur. Naluri keibu bapaan membuak-buak dalam jiwa mereka. Sekarang berdiri di hadapan mereka, anak yang dulunya penuh dengan kecomotan dosa dan tidak terurus kini lengkap dengan berjubah serba putih dan berserban putih. Terpancar cahaya kemanisan dari raut wajah Hadi dengan berseri sekali, bekasan wuduk yang menjadi wadah kesempurnaan kebersihan diri, zahir dan batin. Dia kini laksana perwira agama yang siap siaga menempuh cabaran perjuangan Islam.

Sahabat-sahabat Hadi di pondok menggelarkannya dengan panggilan Saad Abi Waqqas ke2. Ibarat ucapan keramat Saad dahulu, “ aku ibarat salah satu anak panah daripada anak-anak panah Islam, maka panahlah aku ke mana-mana penjuru musuh, akan aku bisa menembusi mereka”. Begitulah Hadi. Ketokohan yang ada padanya, ketinggian ilmunya, ketekunannya menuntut ilmu, kerendahan dirinya semasa bermunajat memang menjadi ikutan kepada sahabat-sahabat yang lain.
Jiwanya juga cukup mudah terusik dengan insan yang memberi bekas kepada hatinya. Dia kasih dan sayang kepada insan seperti itu. Dia tekad membela mereka dunia dan Akhirat. Benar seperti satu hadis yang bermaksud lebih kurang begini “ orang yang hebat sewaktu zaman Jahiliah dia dahulu, bila hatinya ditembusi cahaya iman dan takwa, dia akan hebat juga dalam liku-liku kehidupan Islam ”.

“ Mama, papa, maafkan Hadi, Hadi banyak buat salah pada mama dan papa sebelum ini “. Itu ucapan pertama yang keluar dari mulut Hadi sebaik melihat kedua ibu bapanya. Sebak di dadanya cuba ditahan, agar kerinduan seorang anak yang terpendam selama ini dapat disembunyikan. Mama dan papanya pun begitu. Walaupun mereka sakit hati dengan perangai Hadi dahulu, namun Hadi tetap anak mereka. Kasih dan sayang sebagai ibu bapa masih mencengkam di sanubari mereka.



Selama ini, naluri keibuan yang dambakan pelukan seorang anak timbul kembali. Tanpa menghiraukan Ustaz Harpan yang berada di dalam bilik itu, mamanya terus memeluk Hadi dan menangis dengan kuat. Tak disangka anaknya kini bakal menjadi penyejuk matanya semula. Pertemuan yang selama ini dinanti-nantikan muncul pada hari tersebut. “Maafkan mama dan papa sayang, buat begini pada Hadi. Mama kesal dengan apa yang telah berlaku nak “ ucap ibunya dalam esak tangis yang bergema.

Ustaz Harpan keluar dari bilik itu bagi memberi ruang kepada keluarga tersebut melepaskan rindu yang sekian lama terbuku. Pertemuan yang diibaratkan sebagai permulaan bagi titik kejayaan untuk Hadi kembali membawa dirinya hidup dalam kegemilangan kejayaan.

“ Mama dan papa tak bersalah, Hadi yang salah. Tak dengar nasihat mama dan papa dahulu ”. Hadi dah bertaubat mama, Hadi nak kembali menjadi manusia yang bertakwa kepada Allah ”. Terima kasih diucapkan pada papa kerana menghantar Hadi ke sini, kalaulah Hadi tak sampai ke sini, entah apa terjadi pada Hadi sekarang “. Tutur Hadi lembut dalam kesayuan hati yang membujuk. Air matanya mengalir semahu-mahunya. Berkali-kali dikucup pipi dan tangan mama dan papanya sambil meminta maaf atas kesilapannya dahulu.

“ Maafkan Hadi ya mama,papa. Hadi sayangkan mama dan papa. Akan Hadi jaga mama dan papa baik-baik selepas ini ”. tersekat-sekat suara Hadi menuturkan patah bicara itu. Penantian selama ini terburai di situ. Papanya juga tidak dapat menahan sebak di dada, akhirnya turut menangis jua. Mengenangkan kembali anak yang ditinggalkan secara paksa di sini dahulu, hati mereka dirundum sedih yang amat.

“ Em, ok lah sayang, kita lupakan hal sebelum ni. Mama dengar tadi Ustaz kata Hadi dapat tawaran untuk sambung belajar ke Jordan,bila pergi tu? Soal mamanya selepas keadaan kembali tenteram. “ Mm, kalau tak ada apa-apa, insyaAllah Hadi akan pergi ke sana 2 minggu lagi, sebab itulah Hadi minta untuk berjumpa dengan mama dan papa. Hadi nak minta mama dan papa halalkan makan minum Hadi sebelum ini, dan tolong doakan Hadi berjaya dalam hidup ya mama, papa ”.

Dengan linangan air mata, Hadi menyambung “ mama, papa, Hadi buat begini supaya mama dan papa dapat maafkan salah silap Hadi sebelum ini. Hadi takut, kerana Hadi mengerti jika sampai ajal Hadi, Allah tidak akan menerima kehadiran roh anak yang derhaka”. Allah memerintahkan para malaikatnya supaya roh anak yang derhaka itu dipalu dengan cemeti neraka di hadapan jutaan manusia kelak ”. Hadi takut, mama, papa ”. esak tangis Hadi bergema lagi.

“ Hadi, mama dan papa dah maafkan Hadi, mama halalkan makan minum Hadi dan mama dan papa akan selalu doakan Hadi “. “ Doakan juga mama dan papa selamat hidup dunia dan Akhirat ”.

“ Baiklah, kalau Hadi nak ke Jordan 2 minggu lagi, mama dan papa akan buat persediaan untuk anak mama seorang ini pergi ke sana nanti. Minggu depan mama dan papa akan datang lagi, Hadi tunggu ya nak. Ada la benda yang mama dan papa nak beri kepada Hadi ”. Ujar ibunya sambil melirik sebuah senyuman manis kepada papanya.
Entah kenapa, semasa bersalaman dan memeluk erat kedua ibu bapanya, Hadi terasa berat untuk melepaskan mereka. Rasa berat yang sangat. Dia hanya sempat memulakan detik kebahagian dalam hidupnya baru beberapa minit yang lepas. Cepat rasanya masa berlalu pergi.

>


“ InsyaAllah, Hadi tunggu mama dan papa. Janji untuk datang ya, Hadi akan bersiap awal-awal lagi nanti. Hadi akan tunggu mama dan papa kat depan pintu utama pagar lagi, hehe ”. Tuturnya sambil bergurau. Itu kali pertama Hadi bergurau dengan kedua ibu bapanya selama hidupnya. Memang dia dulu bersikap dingin kepada kedua ibu bapanya,coretan kisah hitamnya dahulu...

No comments:

Post a Comment